Pembaca budiman,
Assalmu'alaikum wmwb,
Puji-pujian bagi Allah Tuhan sekalian 'alam, Selawat dan Salam keatas Rasul junjungan, anggota keluarga dan sahabat-sahabat nya.
Kita sedia maalum diatas surah Fatehah sebagai surah "Pembukaan" Al-Quranul karim. Sesungguhnya, memahami maksudnya dapat membantu kita mengharungi hidup ini ke jalan yang di redha olih Allah azwj.
Saya cuba, dengan izin Allah, menghuraikan maksud surah tersebut dan dilakukan dalam bentuk gurindan untuk menghidupkan bacaannya.
Saya adalah insan biasa yang banyak kelemahan dan jika ada sebarang kebenaran, ianya adalah datangnya dari Tuhan yang mencipta makhlukNya dan sebarang kelemahan atau kekurangan adalah datangnya dari diri saya sendiri.
Wassalam!
Surah Fatehah
(Gurindam nukilan hamba Allah, Fauzi Abdul Rahman)
Pendahuluan
Pembuka Al-Quran surah Fatehah
Membuka lafadz dengan Basmallah
Ikhlas membaca mendapat Barakah
Rahmat datang mencurah-curah
Surah Fatehah ummul Al-Quran
Memahami maksud menjadi kewajipan
Mengenal Islam menggarap Iman
Fatehah dihayati, lahirlah Ihsan
Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin
“Alhamdulillah” Allah sahaja berhak dipuja
Tanda kesyukuran kepada Yang Esa
Dikurnia ni’mat Nya tiada terhingga
Sewajarnya Allah cinta utama
‘Rab’ mengandungi banyak ma'ana
Al-Malik memilik, Al-Khalid mencipta
Al-Murabbi mendidik, Al-Hofiz memelihara
Al-Mudabbir pula Yang mengurus semua
“Rabbil’alamin” mengi’tiraf Pencipta
Seluruh alam Dia yang empunya
Dialah Tuhan di akhirat dan di dunia
Dia yang memiliki Neraka dan Syurga
Arrahmani Rahim
Rahman dan Rahim merupakan “Rahmat”
Tuhan pemurah kepada semua umat
Kepada yang engkar atau pun yang taat
Jika berkerja dengan ‘tulang empat kerat’
Tak di kira ringan ataupun berat
Jika diusaha kemugkinan mendapat
Sesungguhnya Allah dengan kudrat iradat
Mudahnya sekali mengabulkan hajat
Ummat yang taat dan tidak pula sesat
Allah menyanyangi setiap waktu dan saat
Semoga di syurga disediakan tempat
Jika di dunia ikhlas beribadat
Malikiyaumiddin
Milik Allah Hari Kemudian
Di situ dibangkitkan semua insan
Siratul-mustakin menjadi titian
Mudah dilalui bagi yang beriman
Padang Masyar tempat perhitungan
Keadilan Ilahi tiada tandingan
Tiada kecelaan, tiada kecacatan
Maha suci Allah Dia lah Tuhan
Dengan Allah kita hanya seorang hamba
Kepada Tuannya wajib berjasa
Jika tersalah sembah di dunia
Diakhirat merana di alam neraka
Iyyakana’budu waiyyakanasta’in
Jika Fatehah inti Kitabullah
“Iyyakana’budu” intipati Fatehah
Hanya Dia sahaja berhak disembah
Titik permulaan menuju Al-Falah
Lisan berikrar hati bersumpah
Dikurnia hidayah dunia 'sakinah'
Kepada Nya sahaja ditujukan ibadah
Amal yang disukai dan di redha Allah
Ibadah harta, hati dan lisan
Termasuk anggota kaki dan tangan
Wajib di dunia kita sempurnakan
Hanya di tuju kepada Nya Tuhan
Tidak menyembah Allah di dunia!
Manusia sedemikian engkar namanya
Allah dan yang lainnya, disembah bersama
Perbuatan syirik dilakukan manusia
Jika bukan cara dibawa Rasulullah
Ini dikatakan amal bidaah
Ketiga-tiga amal tertolak sudah
Mendatangkan dosa bukan barakah
Hanya satu jalan menjadi pilihan
Kearah taqwa yang disenangi Tuhan
Taqwa penyelamat di hari kemudian
Inilah jalan menuju “kemenangan”
Hanya taqwa sebaik pakaian
Di dunia ia sebaik amalan
Untuk ke syurga sebaik bekalan
Satu manifestasi kemanisan iman
Jika taqwa mahu kecapaian
Hanya Allah menjadi sembahan
Satu jalan sahaja jadi ikutan
Jalan dibawa Rasul kesayangan
Apabila bercerai roh dengan jasadnya
Hanya bermunafaat tiga perkara
Amal jariah semasa di dunia
Juga peninggalan ilmu berguna
Anak soleh mendoakan ibu-bapa
Tiga bekalan membawa kesyurga
Amal jariah luas bidangnya
Tak cukup ruang untuk bicara
Mencabut duri di jalan raya
Sedegok air bagi anjing yang dahaga
Asalkan ikhlas nawaitu kita
Amal jariah mendatangkan pahala
Dengan Nya sahaja meminta pertolongan
Manusia hanyalah sebagai saluran
Jika hatinya, tidak Allah gerakkan
Masakan manusia menghulur bantuan
Juga kewajipan kita berista’adah
Apabila usaha dan doa sempurna sudah
Kepada Tuhan bersandar menyerah
Agar baik perjalanan penghujung pun indah
Ihdinassiratulmustaqim
Kepada Nya Allah dipanjatkan doa
Di tunjukkan jalan, lurus dan nyata
Jalan yang Allah restu dan Redha
Matlamat mukminin menuju ke syurga
Menghindar sesat perlukan panduan
Agar matlamat sempurna kesampaian
Jalan dilalui berpeta Al-Furqan
Pemandu jalan Rasul junjungan
Al-Furqan peta penunjuk arah
Laluan yang haq, laluan yang salah
Pemandu hakiki Muhammad Rasulullah
Berguru Tuhan dan kesayangan Allah
Siratallazi naan’amta’alaihim
Setelah ditunjuk jalan yang selamat
Siang dan malam duduk bermunajat
Kepada Allah doa dipanjat
Supaya Allah mengurniakan ni’mat
Hendak di ikut mereka yang empat
Mendapat ni’mat hidup pun berkat
Ni’mat terhindar dari engkar dan sesat
Kehidupan sempurna dunia akhirat
Surah An-Nisa ayat enampuluh sembilan
Dari Al-Quran mendapat penjelasan
Sangatlah beruntung empat kumpulan
Menerima ni’mat kurniaan Tuhan
Para nabi-nabiin di tempat hadapan
Siddiqin dan shuhadah berikut kemudian
Para solihin juga tidak ketinggalan
Ikutlah mereka mengikut kemampuan
Ghairilmaghdubi’alaihim, Waladhalin
Pohon dipinta dijauhkan pula
Dari segala yang mengundang murka
Ilmu yang haq sudah di dada
Mengapa kebatilan yang dipilih juga
Degilnya hati diserta keengkaran
Sifat Yahudi sifatnya sedemikian
Surah Al-Baqarah menjelas keterangan
Sengaja manusia mengundang kecelakaan
Jauhkan juga dari gulongan kedua
Ilmu yang “haq” ketandusan tiada
Ibarat manusia yang sesat didunia
Amal menggunung sia-sia belaka
Amin
Ya Tuhan, kabulkan doa kami ini
Segala seruan dan perentahMu, Ya Ilahi
Seperti dari Rasulullah kami warisi
Bantulah kami agar setiapnya ditaati
Seperti Muaz bin Jabal diajar Nabi
Pada setiap masa agar Allah diingati
Setiap ni’mat yang diberi disyukuri
Ibadah kami tiada putus Dikau perbaiki
Azam kami ingin menjadi insan mithali
Agar, didalam tauhid kami kembali.
Thursday, January 7, 2010
Surah Fatehah - UMMUL ALQURAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment